Ikatlah Seeratnya

IKATLAH SEERATNYA
Oleh: Amir Madani Zikra



Kuhirup udara segar di kawasan rekreasi dalam kawasan kolej tempat kumenimba ilmu. Merenung tasik yang cukup indah, tenang airnya. Sesekali kelihatan beberapa ekor ikan muncul di permukaan. Diiringi angin yang seolah-olah membuai tubuh. Sungguh, petang Jumaat itu amat damai.

Sedang asyik memandang panorama indah kurniaan Rabb al-Jalil, otakku ligat memikirkan tugasan yang diterima dari murabbiku semalam. Aku harus menyiapkannya mengikut tarikh yang ditetapkan. Bukan lagi harus, malahan wajib kerana ia tugasan penting yang telah disepakati oleh kami semua secara bersama.

TARBIYAH SENIOR
Fikiranku melayang entah ke mana. Cuba mengimbau memori lama di saat aku di sekolah menengah dahulu. Aku pernah menuntut di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan, terkenal dipanggil sebagai ITQAN. Itulah bumi aku ditarbiyah dan mentarbiyah diri. Bumi yang cukup berharga buat Ummah Khusus di Malaysia, dan di dunia secara amnya.

Hari itu hari Jumaat. Dahulu, semasa masih digelar ‘junior’, kami sering sahaja ‘dipaksa’ untuk membuat satu tugasan. Tugasannya adalah mencatat nota-nota penting dari Khutbah Jumaat. Objektifnya pelbagai dan pelaksanaannya fleksibel. Antara matlamat utama tugasan mencatat diberikan adalah:
1) Mengelak diri kami daripada tidur semasa khutbah
2) Memastikan kami memperoleh maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Khatib.

Selesai menghadiri khutbah dan menunaikan fardhu Jumaat, kami (para junior) diminta berkumpul di blok kediaman senior. Kadangkala, kami akan disoal semula apa yang kami telah tuliskan. Namun, di waktu lain, kami hanya diminta untuk kumpulkan sahaja nota-nota tersebut untuk disemak dan ditandatangani senior sebagai bukti ‘kamu tulis dan tidak tidur’. Ada waktu juga kami sering dimarahi dek kerana tidak dapat menjawab soalan. Sekiranya tidak membawa buku atau kertas untuk dicatat, itu adalah kesilapan yang besar buat kami sebagai seorang junior.

Walau apapun yang kami lalui, aku harus memandang dari sudut positif. Hakikatnya tarbiyah yang diberikan oleh para senior kami secara langsung ini menghasilkan berbutir-butir mutiara yang perlu digilap masyarakat.

Sinonim orang menuntut ilmu adalah perlu berguru, menghadap buku dan menulis. Itulah konsep yang disebut sebagai ‘Talaqqi’. Konsep tersebut diaplikasikan [walaupun tidak sepenuhnya] oleh para senior kami kepada junior mereka. Secara dalamannya, mungkin kami mempunyai perasaan ’terpaksa’, namun sebenarnya kami sedang memahat bongkah-bongah kayu untuk membentuk sebuah ukiran yang indah.

HIKMAT MENULIS
Menulis, sinonimnya dengan pena. Ia merupakan suatu perkara yang cukup penting dalam pembelajaran. Konsep menulis ini telah disebutkan oleh Allah melalui firman-Nya, yang bermaksud:

“Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),  Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, - yang mengajar manusia melalui Pena (dan tulisan), - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-‘Alaq, 96: 1-5)

Itulah keutamaan Pena dalam menimba ilmu. Imam Ibnu Kathir dalam Tafsirnya menyebut perihal ayat di atas, kata beliau: “Segala puji bagi Allah, kerana wahyu yang diturunkan pertama kali adalah ayat-ayat yang penuh barakah tersebut. Itu merupakan rahmat, sebagai wujud kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.” Beliau juga berkata, “Terkadang ilmu itu datang dengan berfikir, terkadang dengan lisan, dan terkadang dengan tulisan.” Lalu beliau menambah dengan atsar, “Ikatlah ilmu dengan catatan.

Kepentingan menulis ini juga dikuatkan oleh Imam al-Sya’bi, beliau berkata, “Jika kamu mendengar suatu ilmu, maka tulislah, meskipun (jika tidak ada kertas) di dinding, itu lebih baik bagimu, kerana suatu masa nanti kamu pasti memerlukannya.”

IKATLAH SEERATNYA
Justeru sahabat yang dimuliakan kerana Allah sekalian, penulis menyeru agar kita semua sama-sama mengikat sebarang ilmu yang diperoleh dengan pena. Sediakanlah diri kita dengan membawa sebuah buku nota bersaiz poket dan sebatang pen ke mana sahaja kita melangkah, kerana ilmu itu datang tanpa diduga bukan sekadar hanya di kuliah atau kelas semata-mata.

Wallahua'lam. Sehingga bertemu lagi. 

Comments

AFDHAL FIKRI said…
Entry yang baik. Saya pun pernah melalui zaman itu. :) Apa-apa pun terima kasih mengungkit kenangan lama. haha
Zahirul Nukman said…
@afdhalfikri

Agak-agak senior kita marah tak? ke terharu? haha.

Popular posts from this blog

Efektif dan Efisien

[UPDATE] Senarai Sekolah Agama, Pusat Tahfiz & Pondok Negeri Sembilan

Al-Nasr : Pertolongan